Sunday, June 3

Braderhud

Sedari kecil sampai sekarang, antara aku dan kau tak pernah sekalipun kau menang dalam perang mulut, dalam kata caci. Aku bangga dulu, kerana aku punya backup besar di belakangku yang semerta buatkan kau tewas dalam perbalahan.Kita berdua tak pernah sekepala, sehati meskipun kita punya satu bapa satu emak. Ingat lagi aku, hari itu cuti sekolah, kau bangun awal dari aku, aku terlewat sedikit. Aku menerpa ke ruang tamu, kau sudah bersila di depan tivi 15 inci sambil menyuapkan sesuap nasi lemak ke dalam mulut sambil mata tekun melihat siaran tivi berita. Kau bodoh, suka sangat tengok wawancara itu wawancara ini. Hari ini hari cuti, tengoklah kartun. Kita masih budak kecil, janganlah kau lagak dewasa. Aku cari pasal, aku tekan punat di tivi; siaran bertukar ke siaran kartun kegemaranku. Kau herdik au, aku lawan, aku kuatkan suara. Kau tolak aku, aku sepak perut kau; tak sempat kau tepis. Senak barangkali. Emak datang dari dapur dengan senduk gulai di tangan kirinya, aku berlari ke belakang emak, emak marah kau, kau terus lari naik ke tangga, masuk ke bilik. Nasi lemak terbiar jadi santapan aku. Emak sering jadi backup aku.

Hari itu hari sekolah. Aku bergaduh dengan pelajar senior. Habis dahi aku, lengan aku luka merah. Sakit, tapi aku tak nangis. Sebab ayah dah pesan banyak kali, laki tak menangis bila ada luka merah yang orang nampak, laki hanya menangis bila ada luka dalam hati. Entah apa prinsip ayah, aku tak ketahuan. Kau datang, papah aku jumpa cikgu, cikgu benarkan aku dibawa pulang. Kau bawa aku pulang naik basikal Raleigh. Aku di pelantar belakang menahan sakit, kau di depan kayuh pedal dengan laju; berpeluh.

Satu hari kau dapat tawaran sambung belajar di Kelantan, di IKM. Kau kata kau belajar matapelajaran apa entah bunyi macam 'sivil injinering'. Lama kau pergi; tiga tahun kau biar aku sorang sorang di rumah. Aku takda kawan lepas kau pergi, kawan yang selalu aku gaduh, aku maki. Aku bosan, bukan sebab apa aku nak emak ayah bagi, tapi aku tak dapat nak gaduh dengan kau.

Tiga tahun berakhir, kau dah habis belajar. Kau dah graduasi. Masa kau graduasi, aku tak pergi pun tengok kau, yang pergi hanya mak dan ayah, sebab diorang beriya tengok kau pakai topi empat segi tu. Kata mereka kau anak pertama pakai macam tu. Penuh gaya.

Sekarang giliran aku untuk belajar diploma di sekian sekian tempat dengan sekian sekian kos. Aku tanya emak, kau tak sambung ke ijazah? Emak kata kau kena kerja sebab bagi aku peluang merasa belajar, merasa pakai topi segi empat macam kau satu hari nanti. Kau kerja di bidang yang bukan pilihan kau. Kau sepatutnya jadi engineer, bukan juru tol.

Sampai masa aku pulak graduasi. Hanya emak dan ayah datang, kau takda, aku tahu kau tak datang bukan sebab marahkan aku; emak kata kau dah cuba minta cuti tapi bos tak bagi. Kau tak dapat datang, kau hanya kirim salam untuk aku.


Aku malu nak terangkan ke kau, tapi aku nangis. Nangis bukan sebab aku luka berdarah main bola, jatuh moto. Tapi nangis bila kenangkan kau yang jadi backup aku yang sebenarnya. Mungkin aku baru faham apa ayah kata. Mungkin. Aku sayangkan kau, abang.


2 comments:

cik syaa said...

Alaaaaaaaaa sedeh la bace entry ni...

ken adbullah said...

cik syaa- :) hanya catatan biasa.