Thursday, August 23

kopi bin


Sudah menjadi kebiasaan, tiap pagi pasti aku akan datang ke sini sebelum terus ke tempat kerja. Satu-satunya warung kopi tepi jalan, Warong Bin, yang berada dalam lingkungan jarak apartmen ke stesen komuter. Aku duduk di meja kegemaran dan datang seorang pelayan perempuan lingkungan 35 tahun bersama buku 555 di tangan kirinya. Tersenyum manja hingga memanahkan lesung berkembarnya tepat ke arah anak mata aku.

“Minum dik?”
“Biasa, kopi o gelas. Tarik ya.”
“Okay.”

Akak pelayan berlalu ke dapur untuk menyiapkan pesanan. Membelakangi aku sehingga menampakkan bentuk otot pejal gluteus maximus di sebalik seluar jeans ketat yang bisa buatkan setiap anak mata lelaki tidak lari dari melihat. Kadang-kadang terpikir juga aku bila melihat sisi tubuhnya begitu, entah apa jamu yang diamalkan hingga tegang sel sel pigmen ; tak kena dengan umur. Surat khabar diselak satu persatu bermula dari berita sukan, buat menunggu Kak Bin datang membawa air kopi aku. Usai sampai aku kacau perlahan kopi yang terhidang di atas meja hingga menaikkan aroma pekatnya menusuk ruang hidung umpama berikan hint supaya cepat menghirup sebelum aromanya hilang ditiup angin. Secangkir kopi di hirup bersama buih yang ada membasahi lidah turun perlahan memenuhi ruang esofagus dan buatkan kaifiat kafein menyegarkan sel tubuh. Cukup untuk melayari hari siang yang panjang. Nikmat.

“Kak Bin, kopi O dengan dua keping roti bakar.”
“Okay.”

Bunyi suara itu selang tiga meja di hadapan aku. Seorang perempuan yang entah dari hala mana datang dalam keadaan kelam kabut buatkan minda aku yang sedang lentok diulit nikmat kopi terganggu. Kalut lain macam gayanya.

*****
Pagi ini hujan renyai tapi ia tak pernah menghalang aku untuk terus datang ke warung ini untuk dapatkan kopinya. Dadah halal ini buatkan aku terlalu ketagih untuk dapatkannya setiap pagi sebagai ritual hidup untuk membantu aku produktif menempuh hari siang yang penuh barai. Bancuhan kopi campuran Kak Bin memang lain macam.
Warong Kak Bin tempat golongan marhaen melepaskan lelah. Golongan pemandu lori di satu sudut bersama kumpulan mereka. Bancuhan kopinya lebih pekat dan kurang gula. Pakcik-pakcik pensen yang masih berkopiah, baru pulang dari membersihkan surau duduk di satu sudut lain. Kopinya dikisar kasar. Baru sedap bila bergabung aromanya dengan rokok kretek.
Selepas melengkapi rutin pagi yang dijadualkan sendiri, aku terus bergegas ke stesen komuter terdekat untuk terus ke tempat kerja. Bukan tak mampu untuk berkenderaan sendiri tapi aku lebih suka menggunakan kenderaan awam di kota yang dihimpit dengan hutan konkrit melangit sedia ada dan tebaran peniaga kapitalis yang sering mencekik konsumer seperti aku.

*****
Aku masih lagi disini, di warung kopi yang sama untuk mendapatkan dos kopi yang sama. Cuma berbeza hanya meja aku sekarang bukan di meja selalu kerana sudah ada sekumpulan budak sekolah yang port lebih awal dari aku. Tak kisahlah, asalkan aku dapat menghirup dadah aku pagi ini tanpa gangguan. Sejak kebelakangan ini, kopi Kak Bin macam kurang kick. Atau mungkin sebab lain. Kini kopi bukan lagi tujuan utama aku di sini tapi dia. Ya, dia! Tapi mana dia? Dah beberapa hari aku tak Nampak langsung kelibat dia. Pelbagai soalan bermain di benak fikiran. Mungkin bukan jodoh aku untuk kenal dia atau mungkin aku memang terlalu lambat bertindak. Abaikan. Ah, entah kenapa aku teringatkan gadis kalut itu. Aku beranikan diri. Aku tak peduli.

“Erm.. Kak Bin, tumpang tanya. Perempuan yang selalu order kopi O tu tak datang lagi ke?”
“Perempuan? Dik, kedai akak ni ramai perempuan yang order kopi. Mana akak nak ingat dik.”
Aku tersengih. Geli hati dengan gelagat sendiri. Malu. “Betul jugak ek. Ala, yang selalu kalut datang sini order kopi O dengan roti bakar dua keping tu. Yang matanya bulat, berambut curly di bahagian hujung. Ingat tak?”
“Oh, Lia eh? Yang selalu duduk di meja hujung situ kan?”
“Lia? Ha’ah. Iyer kot. Selalu dia port situ. Mana dia eh? Lama tak nampak.”
“Dia anak saudara akak. Tu ha!” Kak Bin menjuihkan bibirnya. Lia datang tergesa-gesa dan duduk di meja kegemarannya.
“Kak Bin, biasa eh? Kopi O dengan roti bakar dua.”
“Lambat lagi kau hari ini?”
Lia tersengih bila Kak Bin tegur. Manis. Dalam kalut-kalut Lia, masih lagi sempat dia melayangkan senyum kepada aku. Mungkin dia cam aku sebagai pelanggan tetap Kak Bin. Agaknya. Adrenalin memacu. Mungkin sebab lama tak nampak dia di sini. Aku tekad, lebih baik aku mencuba, untung sabut timbul.
“Awak, lama tak nampak sini.”
“Oh ya. Saya sibuk sikit, baru dapat kerja baru.”
Ringkas jawapannya tapi di hiasi dengan lirikan senyuman manis yang buatkan aku tak keruan.
“Erm. Saya Wan. Ini memang gila. Saya baru kenal awak. Tapi malam ini nak dinner dengan saya sekali tak?” Aku hulurkan tisu yang ditulis nombor telefon.
Entah apa aku ucap tadi, degupan jantung yang kencang tadi tiba saja senyap. Macam dah berhenti pam darah. Muka pun naik pucat lesi.
“Kenapa baru sekarang? Dah lama saya tunggu awak.” Dan pagi itu, aku bersumpah, senyum Lia ketika itu yang aku tak akan lupa sampai aku mati.


Saturday, August 18

Beritahu aku


Ini pertama kali kau dan aku keluar malam. Memang tiada apa di bandar Alor Star pada malam hari jika dibandingkan dengan limpahan keceriaan di ibu kota sana. Tapi di sini semuanya bermula, kisah kau dan aku. Sama sama kita berdua berpeleseran di dataran ini, bersama dengan kumpulan manusia lain yang leka dengan aktiviti dunia masing masing. Cuma bezanya tika ini bagi diriku dunia ini hanya aku dan kau. Kau genggam erat tanganku, sesekali kepala aku di sandarkan di bahu kau yang bisa buatkan kau rasa seperti seorang putera yang gagah dan sedia pertahankan aku, seorang puteri raja yang lemah dan ayu.  
Meskipun malam ini ramai orang yang datang di dataran, itu tetap tak di endahkan aku dan kau. Kita berpelukan di tengah orang ramai. Badan kecilku dirangkul kau dan dipeluk erat. Kau bisik di telinga ku "awak cinta saya?"

Tiada perkataan yang keluar dari bibirku, hanya anggukan sedikit kepala untuk menjawab pertanyaan kau. Mata aku terus pejam untuk menghayati bibit bibit indah ini, supaya kelak aku mampu 'simpan' ia jadi mimpi dalam tidurku.

Entah macam mana, aku berada di atas kerusi empuk, di dalam satu bilik bersaiz 20x20. Tangan kaki ku di ikat kemas. Tapi mata dan mulutku tidak tertutup. Aku menjerit, meraung sekuat hati, tapi tiada siapa yang dengar barangkali. Pintu bilik di buka, kau datang membawa pisau yang tajam matanya.
Satu saja perkataan yang keluar dari bibirmu, "aku cintakan kau, wahai sayang".

Pisau yang dibawa terus di toreh tepat di dada kiriku. Pipi ku terus basah dengan linangan air mata menahan sakit yang tak dapat aku ceritakan. Berkali kali dada kiri aku ditoreh, mungkin pisau yang kau gunakan tak setajam yang aku gambarkan atau mungkin pigment aku tidak mudah untuk berikan hati kepada sesiapa.
Kau teruskan jua, darah yang terpercik mengeluarkan bau yang tak bisa aku terangkan. Usai selesai di toreh, tangan kau terus mencari hati aku, kau ambil kemudian kau simpan sendiri. Dada yang terbelah tadi kau cantumkan semula, kau jahit. 

Ikatan yang kemas tadi kau leraikan. Aku bertanya kepadamu,  "kenapa awak buat saya begini?"
Kau hanya senyum dan balas "saya cintakan awak, izinkan saya untuk terus simpan hati ini supaya kelak tak ada lelaki lain yang ambil".

Dalam kebasahan badan dengan darah yang ada, aku terus peluk kau dengan erat. Sekali lagi mataku berkaca kali ini bukan kerana menahan sakit, tapi kerana meraa bahagia kerana berikan hatiku kepadamu. Aku cintakan kau.


*****

Itu cerita tiga tahun yang lepas. Cerita di mana kisah kita hanya ada aku dan kau, tapi segalanya berubah sekarang, setelah kisah berdua ini ditambah watak yang ketiga, dimana watak itu adalah kekasih baru mu. Kau nampak bahagia bersama dia, aku redha. Cuma satu aku minta, pulangkanlah hatiku balik, atau beritahulah aku dimana kau campak hatiku supaya aku bisa berikan pada lelaki yang lain.


Wednesday, August 15

Pekerja gred bawahan


Air kafein  hitam pekat di hirup dikit dikit, membasahkan lidah, menuruni ke ruang esofagus. Nikmat kafein yang telah di asimilasi umpama memberi hint kepada sistem tubuh untuk terus bekerja di hari ini. Hitam, tapi pahit, satu kombinasi yang sudah sebati dengan penggemar kopi. Begitu juga Achillus, hari harinya wajib ditemani secangkir kopi buatan sendiri. Cuma bezanya, dia hanya minum kopi setiap pagi sebagai pengalas perut kerana hanya itu yang mampu. Pagi ini, kerja perlu diteruskan, kalau tidak malulah dia jika jumpa anak anak jalanan itu nanti. Mereka mengharapkan dia dapat tunaikan janjinya. Janji sebagai seorang yang dewasa.

Karung guni yang entah dari mana dapat di ambil dan di letakkan di dalam raga basikal mini keluaran Raleigh. Moga pagi ini rezekinya murah, meskipun dia sedar sepanjang hayat hidupunya, tak pernah dia merasakan rezekinya murah. Basikal yang sudah usang dikayuh menulusuri lorong lorong dari satu perumahan ke satu perumahan, dari satu rumah kedai ke satu rumah kedai. Hentiannya hanya satu, di setiap tong bewarna hitam dan hijau yang isi dalamnnya penuh dengan seribu macam sampah. Dari satu beg hitam ke satu beg hitam, di kuis kuis isi dalamnya, di ambil tin tin kosong dan kertas kertas yang bisa dijadikan bahan pertukaran kepada sekeping dua nota ringgit. 

"aku kena pastikan aku dapat banyak duit hari ni, kalau tidak macam mana aku nak jumpa mereka hujung minggu ni" monolog Achillus sendirian sambil memasukkan tin tin minuman yang kosong di dalam karung guni. Seharian, hampir setiap kawasan yang punya tong sampah di Arau di datanginya dengan satu impian, moga dapat ditukarkan ke nota ringgit. 
Kerja yang gunakan kudrat ini sudah sebati dengan hidupnya hampir 20 tahun yang lalu. Segala macam liku di redahnya. Demi teruskan sistem kehidupan sebagai pekerja paling bawah grednya. Cuma kurangnya Achillus, kudratnya terbatas, dengan hanya miliki sebelah tangan, dia tak mampu untuk bersaing mendapatkan rezeki yang lagi baik.

Hari hari terus mendatang, simpananya terus bertambah, meskipun hanya beberapa keping nota ringgit. Petang ini dia sudah berjanji akan berjumpa dengan anak anak jalanan itu. Perihal manusia, janji ditabur, pasti ditepati. 
Petang ni dia sampai di kawasan ini, tempat anak anak jalanan bergelimpangan melata di serata kaki lima datang setelah nampak kelibat abang Achillus mereka. seorang anak kecil yang comot mukanya, berminyak sedikit di pipi dan dahi datang membawa sekeping papan hitam dan sekotak kapur tulis yang disimpan kemas di bawah flyover.  
"Hai adik adik! cepat datang sini, tengok apa abang bawa. Taraaa!!!! nada yang jelas terpancar menunjukkan kepuasan bagi Achillus.
"Yeayy!!! abang bawa buku buku baru dengan pensel" Teriak seorang anak kecil lain yang melompat keriangan. 
"Terima kasih abang! Hari ni abang nak ajar kami apa?? Tanya seorang anak kecil lain yang tak sabar untuk menimba ilmu, sambil riang bau haruman buku buku yang baru dibeli.

"Hari ni abang ajar adik adik matematik! Kemudian abang sambung bacakan cerita yang minggu lepas abang berhenti ya?" Mulut berbicara, menghilangkan wajah letih Achillus.

Tiada sesiapa lagi di dunia tuhan ini melainkan anak anak jalanan yang tegar mahu menuntut ilmu. Bagi Achillus, biarlah orang sekeliling nampak dia sebagai seorang pekerja gred bawahan yang hina, tapi bagi anak anak jalanan, dia umpama malaikat yang entah dari mana mana datang memberi harapan untuk mereka jadi lebih baik kelak.