Saturday, August 18

Beritahu aku


Ini pertama kali kau dan aku keluar malam. Memang tiada apa di bandar Alor Star pada malam hari jika dibandingkan dengan limpahan keceriaan di ibu kota sana. Tapi di sini semuanya bermula, kisah kau dan aku. Sama sama kita berdua berpeleseran di dataran ini, bersama dengan kumpulan manusia lain yang leka dengan aktiviti dunia masing masing. Cuma bezanya tika ini bagi diriku dunia ini hanya aku dan kau. Kau genggam erat tanganku, sesekali kepala aku di sandarkan di bahu kau yang bisa buatkan kau rasa seperti seorang putera yang gagah dan sedia pertahankan aku, seorang puteri raja yang lemah dan ayu.  
Meskipun malam ini ramai orang yang datang di dataran, itu tetap tak di endahkan aku dan kau. Kita berpelukan di tengah orang ramai. Badan kecilku dirangkul kau dan dipeluk erat. Kau bisik di telinga ku "awak cinta saya?"

Tiada perkataan yang keluar dari bibirku, hanya anggukan sedikit kepala untuk menjawab pertanyaan kau. Mata aku terus pejam untuk menghayati bibit bibit indah ini, supaya kelak aku mampu 'simpan' ia jadi mimpi dalam tidurku.

Entah macam mana, aku berada di atas kerusi empuk, di dalam satu bilik bersaiz 20x20. Tangan kaki ku di ikat kemas. Tapi mata dan mulutku tidak tertutup. Aku menjerit, meraung sekuat hati, tapi tiada siapa yang dengar barangkali. Pintu bilik di buka, kau datang membawa pisau yang tajam matanya.
Satu saja perkataan yang keluar dari bibirmu, "aku cintakan kau, wahai sayang".

Pisau yang dibawa terus di toreh tepat di dada kiriku. Pipi ku terus basah dengan linangan air mata menahan sakit yang tak dapat aku ceritakan. Berkali kali dada kiri aku ditoreh, mungkin pisau yang kau gunakan tak setajam yang aku gambarkan atau mungkin pigment aku tidak mudah untuk berikan hati kepada sesiapa.
Kau teruskan jua, darah yang terpercik mengeluarkan bau yang tak bisa aku terangkan. Usai selesai di toreh, tangan kau terus mencari hati aku, kau ambil kemudian kau simpan sendiri. Dada yang terbelah tadi kau cantumkan semula, kau jahit. 

Ikatan yang kemas tadi kau leraikan. Aku bertanya kepadamu,  "kenapa awak buat saya begini?"
Kau hanya senyum dan balas "saya cintakan awak, izinkan saya untuk terus simpan hati ini supaya kelak tak ada lelaki lain yang ambil".

Dalam kebasahan badan dengan darah yang ada, aku terus peluk kau dengan erat. Sekali lagi mataku berkaca kali ini bukan kerana menahan sakit, tapi kerana meraa bahagia kerana berikan hatiku kepadamu. Aku cintakan kau.


*****

Itu cerita tiga tahun yang lepas. Cerita di mana kisah kita hanya ada aku dan kau, tapi segalanya berubah sekarang, setelah kisah berdua ini ditambah watak yang ketiga, dimana watak itu adalah kekasih baru mu. Kau nampak bahagia bersama dia, aku redha. Cuma satu aku minta, pulangkanlah hatiku balik, atau beritahulah aku dimana kau campak hatiku supaya aku bisa berikan pada lelaki yang lain.


1 comment:

O CIKTEDDY said...

barang yg dh diberi xleh ambik balek..nnti siku buruk.dlm hal ini,mungkin perlu dicari penderma hati agaknya..